06 January 2017

Cerita Darjah Satu

Tanggal 3 Januari 2017 bermulalah lembaran baru bagi puteri kami, Auni Irdina yang buat pertama kalinya melangkah masuk ke alam persekolahan. Kehidupan kami sekeluarga pun turut berubah kerana terpaksa mengikut rentak waktu sekolah Auni. Kira sekarang ni masih di peringkat penyesuaian lagi mengenai pengurusan masa.

Perjanjian dibuat dengan Auni cuma dua hari sahaja mama atau papa akan temankan dan masuk hari ketiga walaupun berat hati dan hiba terpaksa juga melepaskan si kecik ni masuk sekolah bersendirian dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada guru semata-mata. Melihat dari jauh si kecik Auni melilau di perkarangan sekolah mengintai-ngintai ke mana arah tujunya sehinggalah berjumpa dengan kawan2 kelasnya. Alhamdulillah, ujian pertama sukses.


Bercerita pasal teman-meneman ni, dua hari pertama persekolahan kami juga seperti ibu-bapa yang lain. Melihat dengan mata kepala sendiri banyak ragam dan adegan yang menjengkelkan. Tak kisahla nak manjakan anak, bersuap, belai atau apa sekalipun tapi janganlah sampai mengambil hak murid yang lain. Kalaulah diberi kuasa dan keberanian mahunya ditunjal kepala ibu bapa yang 'conquer' kerusi murid kat kantin..

Mana tidaknya, anak-anak kecil yang baru mengenal alam persekolahan melilau, tawaf, mengelilingi kantin sambil menjinjing bekal mencari kerusi kosong untuk menikmati sarapan pagi tika perut pun pastinya berkeroncong minta diisi. Tempoh lebih kurang 30 minit bukanlah tempoh masa yang cukup panjang bagi murid-murid ni, 25 minit sahaja dihabiskan untuk 'tawaf' kantin dan kalau bernasib baik dapatlah kerusi dan dengan 5 minit apa sahaja yang boleh dibuat oleh budak berusia 7 tahun. Buka tupperware sahaja sudah 3 minit.

Yang ibu bapa tanpa rasa bersalah belai anak masing-masing sambil anak-anak yang lain ada yang 'give-up' bawa balik bekal makanan yang masih tidak bersentuh. Murid yang kental sikit jiwanya, atas lantai, tepi longkang, tepi pasu bunga pun sudah kira tempat kosong yang sesuai untuk menjamah makanan. Auni juga hadapi masalah yang sama, tapi jiwanya tak cukup kental macam murid-murid seusianya itu yang mungkin sudah cukup bersyukur dengan 'port' makan yang mereka sebut 'kantin' tu walaupun atas lantai. Sempat lah juga Auni jamah roti walaupun terpaksa duduk berhimpit di sudut tangga berdekatan.

Tidak marah kepada golongan ibu bapa sebab hari pertama, kedua memang sokongan ibu bapa terhadap anak-anak yang baru kenal sekolah sangat diperlukan tapi tolonglah jangan sampai melampau. Tidak kesian ke kepada murid-murid lain, kawan-kawan sekelas anak-anak kita yang hari pertama kenal kantin makan di lantai, hari pertama kenal sekolah makan tepi longkang. Apa agaknya yang akan diceritakan kepada ibu bapa (yang tidak dapat hadir menemani anak) semasa anak-anak ini tiba di rumah.. 

Mungkin dalam gembira anak-anak ini akan cerita betapa 'best'nya sekolah, ramai kawan, makan duduk bersila atas lantai, tepi longkang ramai-ramai makan bekal masing-masing. Tapi apa perasan ibu bapa yang mendengar. Tak hancur luluh hatinya.

Jadi berpada-padalah ya..

Selamat tahun baru, selamat menghadapi alam persekolahan, selamat berdikari dan selamat berjaya buat semua anak-anak darjah satu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...