06 January 2017

Cerita Darjah Satu

Tanggal 3 Januari 2017 bermulalah lembaran baru bagi puteri kami, Auni Irdina yang buat pertama kalinya melangkah masuk ke alam persekolahan. Kehidupan kami sekeluarga pun turut berubah kerana terpaksa mengikut rentak waktu sekolah Auni. Kira sekarang ni masih di peringkat penyesuaian lagi mengenai pengurusan masa.

Perjanjian dibuat dengan Auni cuma dua hari sahaja mama atau papa akan temankan dan masuk hari ketiga walaupun berat hati dan hiba terpaksa juga melepaskan si kecik ni masuk sekolah bersendirian dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada guru semata-mata. Melihat dari jauh si kecik Auni melilau di perkarangan sekolah mengintai-ngintai ke mana arah tujunya sehinggalah berjumpa dengan kawan2 kelasnya. Alhamdulillah, ujian pertama sukses.


Bercerita pasal teman-meneman ni, dua hari pertama persekolahan kami juga seperti ibu-bapa yang lain. Melihat dengan mata kepala sendiri banyak ragam dan adegan yang menjengkelkan. Tak kisahla nak manjakan anak, bersuap, belai atau apa sekalipun tapi janganlah sampai mengambil hak murid yang lain. Kalaulah diberi kuasa dan keberanian mahunya ditunjal kepala ibu bapa yang 'conquer' kerusi murid kat kantin..

Mana tidaknya, anak-anak kecil yang baru mengenal alam persekolahan melilau, tawaf, mengelilingi kantin sambil menjinjing bekal mencari kerusi kosong untuk menikmati sarapan pagi tika perut pun pastinya berkeroncong minta diisi. Tempoh lebih kurang 30 minit bukanlah tempoh masa yang cukup panjang bagi murid-murid ni, 25 minit sahaja dihabiskan untuk 'tawaf' kantin dan kalau bernasib baik dapatlah kerusi dan dengan 5 minit apa sahaja yang boleh dibuat oleh budak berusia 7 tahun. Buka tupperware sahaja sudah 3 minit.

Yang ibu bapa tanpa rasa bersalah belai anak masing-masing sambil anak-anak yang lain ada yang 'give-up' bawa balik bekal makanan yang masih tidak bersentuh. Murid yang kental sikit jiwanya, atas lantai, tepi longkang, tepi pasu bunga pun sudah kira tempat kosong yang sesuai untuk menjamah makanan. Auni juga hadapi masalah yang sama, tapi jiwanya tak cukup kental macam murid-murid seusianya itu yang mungkin sudah cukup bersyukur dengan 'port' makan yang mereka sebut 'kantin' tu walaupun atas lantai. Sempat lah juga Auni jamah roti walaupun terpaksa duduk berhimpit di sudut tangga berdekatan.

Tidak marah kepada golongan ibu bapa sebab hari pertama, kedua memang sokongan ibu bapa terhadap anak-anak yang baru kenal sekolah sangat diperlukan tapi tolonglah jangan sampai melampau. Tidak kesian ke kepada murid-murid lain, kawan-kawan sekelas anak-anak kita yang hari pertama kenal kantin makan di lantai, hari pertama kenal sekolah makan tepi longkang. Apa agaknya yang akan diceritakan kepada ibu bapa (yang tidak dapat hadir menemani anak) semasa anak-anak ini tiba di rumah.. 

Mungkin dalam gembira anak-anak ini akan cerita betapa 'best'nya sekolah, ramai kawan, makan duduk bersila atas lantai, tepi longkang ramai-ramai makan bekal masing-masing. Tapi apa perasan ibu bapa yang mendengar. Tak hancur luluh hatinya.

Jadi berpada-padalah ya..

Selamat tahun baru, selamat menghadapi alam persekolahan, selamat berdikari dan selamat berjaya buat semua anak-anak darjah satu.

07 November 2016

Pantun Darjah Satu

Girang gembira tamat tadika
Dua tahun belajar membaca
Dilatih tubi pandai mengira
Alif Ba Ta lancar bicara

Bahasa Inggeris bahasa kedua
Lancar lidah pelat tiada
Pandai solat siap berdoa
Pasti gurunya beroleh pahala

Masa yang ditunggu telah tiba
Musim persekolahan bakal bermula
Segala persiapan diatur sedia
Menanti hari gemuruh rasa

Sebelum kenal di mana kantin di mana tangga
Murid tertekan jalani periksa
Disaring tahap bijaksana
Pandai di sini, kurang di sana

Bukan menentang dasar negara
Kasihan si cilik yang baru teruja
Melihat sekolah umpama syurga
Hari pertama telah diduga

Kehidupan baru telah bermula
Perlu berdikari tanpa keluarga
Guru pengganti ibu dan bapa
Semoga berjaya harungi segalanya

Zaman kanak-kanak tiba penghujungnya
Fokus belajar tidak kira masa
Zaman sekarang zaman periksa
Gred A,B,C penentu kerjaya

11 July 2016

Apa dosa Auni

Apa dosa Auni

Baringmu dicerca
Dudukmu dihina
Gelak tawamu tidak disuka
Guraumu tidak diterima

Apa dosa Auni

Cakapmu dibalas tengking
Manjamu ditenung jeling
Tangismu dikata nyaring
Jalanmu, tingkahmu semuanya pasti dituding

Percayalah anakku
Dunia ini berpusing...

29 May 2015

Warkah Papa Untukmu (2)

Auni
Doa papa suatu hari nanti
Dirimu membesar gadis sunti
Jagalah akhlak pertahan pekerti
Pelihara kehormatan dan maruah diri
Biar diri dihina dicaci
Maruah keluarga jangan dikotori
Biar diri dipulau dibenci
Percayalah Allah ada disisi
Jangan letakkan dirimu umpama puteri
Meradang jika hasratmu tidak dipenuhi
Jadilah seperti Fatimah puteri Nabi
Dijanjikan syurga oleh ya Robbi

Suatu hari papa kan pergi
Tiba masa mengadap Ilahi
Tika itu tiada lagi papa disisi
Pandai dirimu menjaga diri
Pemergian ku usah ditangisi
Kuatkanlah dirimu bagai srikandi
Tahan air matamu mengalir dipipi
Jagalah mama dan adikmu sendiri
Usah dibiar mereka disakiti

Tanggungjawabmu berat sekali
Hidup ini tak semudah A B C
Bukan juga seringkas One Two Three
Didiklah dirimu berdikari
Hadapilah masalahmu jangan lari
Berpeganglah kepada al-Quran dan sunnah Nabi
Takkan sesat digoda duniawi...

Putera papa Aysar
Suatu hari kau akan membesar
Jadilah gagah umpama Abu Bakar
Digeruni lawan di Perang Badar
Pada mama sayangmu janganlah pudar
Kelak diakhirat disoal Mungkar
Hidupmu janganlah terlalu gusar
Kerna Allah suka yang sabar
Manfaatkan dunia hidup yang sebentar
Carilah rezeki yang luas bertebar
Halal dinikmati haram dihindar

Jagalah kakakmu jangan dibiar
Pertahankan dia jika dikasar
Dalam badanmu darah pendekar
Mesti berani jangan gentar
Tanamkan di hati sifat sabar
Jangan cepat melatah bila dicabar

Hidup ini amatlah sukar
Tidak seperti yang kau diajar
Perlu banyak usaha dan ikhtiar
Masa depan sangat mencabar
Jika lemah pasti terbiar
Ada ketika fajar tidak bersinar
Janganlah sedih jika petir yang berkejar
Banyakkan zikir ribukan istigfar
Kerna maut tak merisik khabar...


15 May 2015

Warkah Papa Untukmu

Assalamualaikum anak-anak papa

Auni
Hadirmu bak sesuci embun pagi
Gelak tawa riangmu tak pernah sunyi
Dari dulu hingga kini
Tidur malammu masih ditemani
Tanpa garu lenamu tak bermimpi
Senang hati melihat seleramu menjadi-jadi
Apatah bila dihidangkan kepadamu kari
Lebih menjadi bila rempahnya diadun sendiri
Oleh mamamu yang disayangi

Kini dirimu bukan lagi bayi
Perlu ditatang malam hingga ke pagi
Gosok gigi dan mandi yang dulunya kau takuti
Tanpa suruh kini kau penuhi
Tinggimu bertambah inci setiap hari
Rambut ikalmu memukau sanubari
Hitam manismu tetap berseri
Dikaulah puteri di hati kami...

Aysar
Kenangan bersamamu tak pernah pudar
Bila hadirmu di dunia ini memberi gusar
Tak berhenti muntah bertukar cadar
Tidur tak lena kepada berputar
Fikirkan nasibmu harap bertukar
Mama papa tak putus ikhtiar
Tak cukup duit kami pinjam dan bayar
Semoga deritamu berlabuh layar

Alhamdulillah Allah mendengar
Rintihan kami yang penuh sabar
Dirimu kini sihat dan membesar
Keletahmu manja kadang-kala kasar
Orang kata itu tandanya anak pintar
Kami redha pasrah tapi menguji sabar
Senyum tawamu umpama penawar
Dipeluk dicium ketika bersandar
Hilang penat marahpun pudar...


07 October 2013

Berkurun Sudah

Assalamualaikum.

Ya Allah, last mama update awal tahun 2012. Tu pun last entry masa Auni umur setahun 7 bln. Skrg dah penghujung 2013 dah. Auni pun 3 hari lagi cukup 3 tahun. Betapa lamanya mama abaikan blog Auni ni. 

Bila cuba utk recall blk, apa sbb tak update, takde jawapan yg khusus. Sbb kat blog mama sendiri, ada jg update walaupun boleh dikira berapa je entry nya. Skrg pun Auni dah ada adik, Aysar namanya. 3 bln ++ umurnya. Nanti mama kena tukar header's name utk blog ni. Kena letak nama adik sekali. 

:)

Tujuan asal blog ni wujud dulu adalah utk update segala perkembangan Auni, so ni dah lost byk dah. 

Rasa bersalah pulak. Nak store dlm memori otak ni pun, pepaham le, byk benda yg kdg kita dah x igt kan. So bila ada dlm blog ni, rindu2 ke boleh la godek2 baca kan. Apapun di usia Auni hampir 3 tahun ni, dah masuk peringkat toddler dah kan, mcm2 kerenah dah dia. Kdg2 boleh buat mama hilang sbr. Sejak ada adik ni, kuat pulak memberontaknya dia. 

Huhu.

Taktau silap kt mana. Mungkin Auni jeles kot, sebelum ni mama&papa mmg 100% bagi tumpuan kat dia. Skrg tak boleh dah mcm tu. Ada ketikanya adik lebih memerlukan mama&papa. Tahap jeles dia tu, ada ketikanya naik jg kaki tgn dia atas kepala adik la, kat muka la. 

Sob sob!

Mama pun rasa bersalah jg sbb skrg mama slalu tinggi suara kat Auni. Tapi mama bknnya tak sygkan Auni, cuma tu la, Auni punya kerenah tu sgt menguji kesabaran! Mama slalu berdoa supaya Allah kurniakan mama dgn rasa sabar yang tinggi dalam mama membesarkan & mendidik anak2 mama ni. 

Nanti mama akan selalu update cerita ttg Auni & Aysar dlm blog ni ye. Kalau x hilang, insyaAllah bila Auni dah pandai baca nanti, Auni boleh baca. Hehe. 


P/S: Auni makin melidi dek kerana selalu takde selera makan. :(

30 April 2012

~ Mama&Papa Love Auni ~

Assalamualaikum.


It's been very long time since last update. 


:)


Kali ni mama update juga walaupun ada sikit rasa mls. Hehe. Auni dah nyenyak dibuai mimpi, papa plak belum balik kerja. So disebabkan bosan dan tgk tv sorang2, mama pun buka la blog nih yg dah mula bersarang. 


Hari ni dah hari terakhir di bulan April utk tahun 2012. Esok dah Mei. 11hb Mei nanti, Auni genap 1 tahun 7 bulan. Tapi, 2hb Mei dia baru nak dptkan injection. Sepatutnya masa umur setahun 5 bulan pun dah boleh inject, tp nurse kat KK letak tarikh appointmentnya 2hb. 


Tak sbr mama nak pi KK lusa. Nak juga tau berapa berat terkini Auni. Rasanya mungkin x byk sgt naiknya. Walaupun lately dia mkn byk, dan kuat minum susu, tapi tgk saiz bdn mcm kecik je. Kurus anak mama nih. 


:P


Kurus pun takpelah, janji anak mama sihat selalu ye.. 


Di usia skrng ni, dah makin bertambah vocabulary Auni. Setiap perkataan yg mama&papa sebut, alhamdulillah dah byk yg dia boleh ikut sebut. Dah boleh faham arahan-arahan ringkas. Cthnya minta tlg ambil brg, suruh duduk, ajak mandi.. 


Kalau dulu, dia x berapa gemar dgn doll, teddy bear. Tapi, skrng dah nampak girly dah. Suka sgt dgn teddy bear, sampaikan nak tido pun mesti berteman dgn mana2 satu teddy. 


Auni juga dah pandai makan sendiri guna sudu. Walaupun ada yang tumpah, tapi alhamdulillah yg masuk ke mulut pun banyak. Mama&papa sooo happy syg.. 


Tgk perkembangan anak dari hari ke hari, rasa mcm tak percaya pun ada. Cpt sgt dia membesar. Kdg2 sebak pun ada. Yela, ada hari yang sgt bz, sampaikan kurang masa utk Auni. Bukannya mama sengaja, tp tu lah tuntutan dunia kan. 


Tapi, takpe, insyaAllah mama akan cuba manage masa dgn sebaik2nya. Mama akan terus berusaha utk jadi ibu yg terbaik buat Auni. 


:)


Mama Papa & Si Tecit Auni
Abaikan kegelapan gmbr. :)


P/S: Auni dpt cousin lagi sorg. Baby boy. So skrng dah ada 2 cousin. ;) 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...